7 Tips Merancang Sambutan Hari Jadi Anak-Anak Di Rumah Ketika Musim Pandemik

Sebelum umur anak-anak mencecah 7 tahun, kita sebagai ibu bapa digalakkan meraikan ulang tahun kelahiran anak-anak sebaik mungkin mengikut tahap kemampuan masing-masing. Tapi kini, perancangan sambutan hari jadi yang dahulunya banyak direncanakan di tempat-tempat terbuka dan dihadiri oleh ramai orang yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan dan kenalan merencatkan perancangan disebabkan pandemik. Namun, tidak bermakna sambutan itu hambar dan tidak meriah.

Jom rancang hari jadi anak-anak yang simple di rumah tetapi meriah. Kebetulan, 2 bulan lagi merupakan hari jadi anak ke-3 saya, Sebagai seorang mama, meski sesibuk mana pun kita, tetap akan rancang sambutannya sebaik mungkin sebagai kenangan buat mereka apabila mereka dewasa kelak.

Photo : noorephotography

1. Tetapkan tema dan warna majlis

Selalunya tema majlis ni, kita ikut kepada kecenderungan anak-anak terhadap kartun atau warna kegemaran mereka. Banyakkan mencari di Google, Pinterest, Blog atau Instagram contoh-contoh gambar majlis yang menggunakan tema dan warna pilihan anda untuk mendapatkan idea dan menjadikannya sebagai sumber inspirasi dan contoh sebagai ikutan.

2. Beli barangan hiasan 1 atau 2 bulan lebih awal

Ini kerana batasan masa dan pergerakan kita untuk ke sana ke sini untuk mencari barangan hiasan. Kita lebih digalakkan membeli semua barangan tersebut secara atas talian. Maka, proses pengeposan daripada penjual sudah tentu mengambil masa yang lebih lama untuk sampai ke tangan kita. Pastikan hiasan dan barangan yang sepatutnya dibeli lebih awal seperti yang disarankan dalam tempoh 1 bulan atan 2 bulan daripada tarikh sambutannya.

Photo : BogdanVj

3. Tentukan kek dan makanan

Pilihan kek juga perlu sesuai dengan tema dan warna majlis tau, supaya kombinasi tu nampak “matching” dan menarik perhatian si anak. Makanan juga perlu ada 2 jenis, jenis makanan kanak-kanak dan makanan untuk orang dewasa. Kuantitinya tidak perlu terlalu banyak kerana sambutannya hanya kecil-kecilan antara kita dan keluarga sahaja.

4. Pilih baju “special” untuk anak

Cari baju yang unik dan cantik. Paling penting kena selesa dan anak kena suka baju tu. Beli atau buat baju tu awal-awal supaya dia dapat cuba dulu dan tidak merosakkan mood mereka ketika majlis berlangsung.

Photo : DragonImages

5. Pilih waktu yang sesuai

Waktu paling sesuai ialah pagi, ketika anak-anak fresh dan bertenaga. Waktu petang tidak sesuai sebab selalunya anak-anak letih dan mungkin ganggu waktu tidur mereka. Pening juga nak melayan moody mereka nanti. Apa-apa pun, boleh ikut jadual harian anak-anak anda kerana rutin harian anak-anak tak semuanya sama.

6. Sediakan Goodie Bag yang bermanfaat

Goodie bag penting juga, kerana majlis hari jadi merupakan waktu di mana kanak-kanak menanti goodie bag. Sebagai ibu bapa yang baik, pilihlah makanan dan goodies sesuai untuk diberikan kepada rakan anak-anak anda sekiranya mereka tinggal berdekatan dengan rumah anda. Jika tidak, boleh juga berikan kepada jiran-jiran berdekatan atau disumbangkan kepada rumah anak-anak yatim. Jangan lupa jaga SOP dan jangan beri junk food, kalau kalian sendiri tak pernah beri junk food kepada anak kalian, begitu juga ibu bapa lain tak suka anak-anak mereka diberikan junk food.

Photo : aestheticnest.com

7. Rakam gambar sebagai kenang-kenangan

Setelah merancang, membuat dekorasi dan sebagainya. Pastikan anda tidak lupa merakamkan video dan gambar sebagai kenang-kenangan di dalam album peribadi keluarga anda. Inilah momen berharga yang perlu anda simpan dan jadikan tanda ingatan selama-lamanya.

Photo : gourav ahir

Kadang-kadang pening kepala juga memikirkan perancangan majlis sambutan hari jadi anak-anak ini. Tapi, pening tu bertukar jadi seronok bila tengok anak-anak pun seronok apabila merayakan hari jadi mereka. Maka, ibu bapa bersedia sahajalah jika mereka minta untuk menyambut hari jadi mereka setiap bulan. Alamak!


Nabiha Mashut adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Nabiha Mashut
Author: Nabiha Mashut

Art, design and craft holic loves writing