Empat Sebab Mengapa Anda Mesti Gunakan ‘Hyaluronic Acid’ Setiap Hari

Hyaluronic acid (HA) atau nama lainnya hyluranon merupakan sejenis cecair yang dihasilkan secara semulajadi dalam tubuh badan. Bahan ini terkandung paling banyak pada bahagian kulit, sendi, mata, dan juga tisu penghubung dengan fungsi utamanya sebagai pelincir dan pelembap pada tisu badan. HA membuat ikatan pada air pada lapisan kulit agar sentiasa kekal hidrasi dan ampuh. Pakar dermatologi sentiasa memberi kesedaran agar menjaga hidrasi atau kelembapan kulit untuk memastikan kesihatan kulit terjaga. Kulit yang lembap bukan sahaja boleh mengawal penghasilan sebum atau minyak pada kulit wajah yang menyebabkan jerawat, tetapi juga menjaga kulit wajah daripada risiko tanda-tanda penuaan pramatang.

Hyaluronic acid telah lama diperkenalkan dalam produk penjagaan kulit wajah seperti serum, moisturiser, toner, dan juga facial mask. HA juga dipasarkan dalam bentuk pil makanan tambahan untuk meningkatkan hidrasi kulit dan mengurangkan masalah kulit kering pada orang dewasa. Peranan utama HA dalam produk skincare adalah untuk kulit penuaan (aging skin) dengan mengurangkan masalah kedutan. Kajian mendapati penggunaan HA secara suntikan pada bawah lapisan kulit serta penggunaan secara topikal boleh mengurangkan gejala kedutan selama satu tahun. Peningkatan usia menyebabkan penghasilan HA oleh kulit berkurangan menjadikan garis-garis halus semakin jelas kelihatan, kering, pengecutan dan kedutan. HA menjadi bahan yang penting untuk anda sebagai makanan tambahan untuk kulit kekal hidrasi.

Panda Eyes‘ atau mata panda adalah istilah yang biasa diberi apabila lingkaran gelap bawah (dark circle) mata terlalu ketara menyebabkan tona kulit bawah mata lebih hitam berbanding bahagian wajah yang lain. Kulit kering pada bahagian mata sering dikaitkan dengan masalah stress, pendedahan kepada cahaya komputer, masalah kitaran tidur yang tidak teratur serta faktor usia. Hyaluronic acid dikatakan sebagai bahan yang berharga seperti emas dalam mengekalkan keremajaan kulit serta penting untuk merawat masalah dark circle. Sedar atau tidak, bahagian terawal yang biasanya mula berkedut adalah pada bahagian mata kerana ianya kawasan yang mudah kering. Penggunaan HA pada bahagian tersebut boleh memberikan tambahan pelembap selain menyokong kolagen atau elastin agar lebih stabil dan memberikan kesan kenyal, bebas kedutan serta kelihatan awet muda.

Gambar oleh Kindel Media daripada Pexels

Tambahan lagi, hyaluronic acid juga adalah bahan non-comedogenic yang sesuai untuk jenis kulit berminyak dan berjerawat. Non-comedogenic adalah ciri-ciri yang tidak menyumbat pori kulit dan memainkan peranan utamanya iaitu melembapkan kulit. Kulit yang menghasilkan terlalu banyak minyak atau sebum yang kelihatan melekit dan berkilat bukan merupakan petunjuk bahawa kulit anda telah hidrasi dengan baik. Tetapi penghasilan sebum yang terlalu banyak sebenarnya berpunca daripada kulit terlalu kering. Penggunaan pencuci muka untuk kulit berjerawat biasanya boleh menyebabkan masalah kulit kering kerana bahan yang digunakan dalam produk tersebut bertujuan untuk menghapus sebum yang menyebabkan jerawat. Justeru itu, penggunaan HA pada rutin penjagaan kulit harian selepas mencuci muka amat digalakkan untuk anda agar kelembapan kulit yang hilang semasa mencuci muka dapat diganti semula.

Hyaluronic acid biasanya cecair yang sedikit berlendir tetapi mempunyai tekstur yang ringan, lembut dan mudah diserap pada kulit amat sesuai untuk semua jenis kulit. Kepentingan HA yang lain adalah ianya amat lembut pada kulit walaupun pada jenis kulit yang sensitif dan mudah merengsa (kesan kemerahan kerana inflamasi). Ini adalah kerana ia memberi kesan yang positif sebagai bahan penyejuk kulit (calming effect) yang sesuai untuk masalah inflamasi pada kulit. Inflamasi pada kulit selalunya disebabkan oleh produk kulit atau bahan riasan yang mengandungi alkohol dan fragran. HA adalah bahan yang sangat bersesuaian bagi merawat masalah ini sebagai agen meredakan kemerahan kulit kerana alergi, ekzema atau rosacea.

Hyaluronic acid berperanan sebagai bahan untuk kelihatan awet muda kerana keupayaannya memegang air pada kulit. Tidak kira pengambilan dalam bentuk sapuan luar kulit, injeksi pada bawah kulit mahupun dalam bentuk pil suplemen, hyaluronic acid sangat efektif untuk keanjalan kulit. Kulit matang yang melalui proses penuaan sangat sesuai mengamalkan HA sebagai rutin harian. Suntikan HA juga rawatan alternatif yang efektif dan selamat dengan syarat dilakukan oleh pakar terlatih serta dalam keadaan yang menjaga sanitasi.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

BSc Food Nutrition, MSc Immunology. PhD student in Biomedicine Pharmacology