‘Homebaker’: Peluang pekerjaan buat rakyat yang hilang mata pencarian sepanjang pandemik COVID-19

Berita Harian melaporkan pada April 2021, penganggur aktif iaitu mereka yang bersedia bekerja dan aktif mencari pekerjaan adalah seramai 647,400 orang! Lebih menyedihkan, penganggur aktif ini telah berada dalam pengangguran untuk jangka masa yang melebihi setahun. Bukan itu sahaja, sebahagian besar penganggur aktif ini merupakan graduan lulusan Ijazah dan Diploma. Graduan harapan keluarga ini juga kebanyakannya berasal dari keluarga B40 dan keluarga miskin yang telah berjaya mendapat kelulusan ijazah inilah paling ramai menganggur. Sudahlah terbelenggu dengan hutang pendidikan, gaji yang tak seberapa untuk menyara hidup di bandar, pastinya membimbangkan kita. Tambahan lagi, ramai pekerja diberhentikan kerana khidmat mereka tidak diperlukan lagi untuk mengurangkan kos operasi sedang di rumah, isteri dan anak-anak mahupun ibu dan ayah mesti diberikan nafkah dan keperluan hakiki tetap wajib ditunaikan. Ianya bukanlah untuk menakut-nakutkan, tetapi daripada masalah ini kita mesti mencari jalan penyelesaian dan keluar dari kesusahan hidup.

Jalan keluar untuk keadaan getir ini adalah dengan membina kerjaya sendiri bermula dari rumah walaupun pada skala yang kecil. Sebagai rakyat marhaen mampukah anda memaksa peluang pekerjaan dibuka lebih banyak atau meminta majikan menaikkan gaji anda? Adakah anda hanya perlu menunggu dan terus berharap sedang anda masih ada tanggungjawab untuk menyara keluarga? Berapa lama lagikah anda mesti tunggu untuk mendapat kerja yang setimpal dengan gaji? Bisnes dari rumah tidak hanya terhad kepada bisnes bakeri tetapi apa sahaja penghasilan produk yang dilakukan dari rumah. Memulakan bisnes bakeri dari rumah hanya perlukan modal yang kecil dan menggunakan peralatan sedia ada. Tanpa pinjaman perniagaan dan menyewa premis kedai pun anda boleh bermula. Capaian internet tanpa sempadan sekarang amat memudahkan peniaga-peniaga kecil untuk dapat pelanggan. Tanpa bertemu pelanggan pun boleh dapatkan tempahan iaitu dengan order online. Pada permulaan bisnes bakeri dari rumah, anda tak perlu menyewa kedai mahupun menggaji pekerja.

Photo by Klaus Nielsen from Pexels

Selain itu, homebaker tidak perlu menunggu pelanggan datang ke kedai, tetapi pelangganlah yang akan mencari anda. Anda hanya perlu menyiapkan tempahan yang masuk dan tidak perlu menyimpan stok yang mempunyai risiko tidak terjual. Walaupun setiap usahawan perlu tahu tiada bisnes tanpa risiko, kita masih boleh kurangkan risiko tersebut dengan cara – Start small. Tambahan lagi, teknik pemasaran yang percuma pada masa kini lebih menguntungkan anda dengan menggunakan media sosial sebagai platform untuk mengiklankan hasil bakeri anda malah ianya tidak memerlukan kos yang besar. Maksimumkan penggunaan media sosial untuk mengiklankan bisnes bakeri menggunakan teknik-teknik tertentu untuk memastikan iklan anda dapat dilihat oleh bakal pelanggan. Dalam erti kata yang lain, kerugian perniagaan bakeri dari rumah ini boleh dikawal dan diminimumkan terutama sekali jika anda tiada langsung pengalaman dalam bidang kusahawanan ataupun masih perlu belajar beberapa kemahiran baru.

Home baking boleh dilakukan secara part-time atau sepenuh masa. Ramai home baker yang bermula dengan mengambil tempahan secara sampingan atau pun ketika mempunyai masa sama ada kerana kekangan pekerjaan utama atau pun ada tanggungjawab lain yang perlu digalas. Sebagai contoh, ada pembuat karipap sejuk beku dari rumah hanya membuat hasil produknya selama tiga hari bekerja sahaja dengan memastikan jumlah pengeluaran mencukupi mengikut permintaan pelanggan. Begitu juga cake artist yang boleh membuka slot tertentu untuk menerima tempahan. Oleh itu, jika sekarang anda seorang pelajar atau pekerja sepenuh masa, anda tidak perlu meninggalkan pekerjaan utama kerana bisnes ini boleh dijalankan mengikut kesesuaian masa anda. Bisnes bakeri ini tidak terhad kepada waktu pejabat sahaja. Bila-bila masa sahaja anda boleh menyiapkan tempahan tidak kira waktu pagi, petang atau pun malam hari asalkan pesanan siap pada waktu yang pelanggan mahu.

Berapa kali setahun anda membeli baju, beg atau kasut baru? Ataupun berapa kali dalam sebulan anda membeli alat solek mahupun produk skincare? Baju, kasut atau beg paling kurang satu kali setahun, dan alat solek pula mungkin sekali sebulan. Berapa kerap pula anda membeli aksesori-aksesori atau gajet? Mungkin apabila sampai masa perlu diganti sahaja. Bagaimana pula dengan makanan? Sudah tentu setiap hari! Perniagaan makanan sentiasa mempunyai permintaan yang tinggi kerana ianya merupakan perkara asas untuk hidup serta pola pemakanan warga belia boleh dipengaruhi oleh trend daripada ‘influencer’.

Photo by Anna Nekrashevich from Pexels

Secara kesimpulannya, kerjaya homebaker boleh dikatakan sebagai kerjaya yang telah dipelopori oleh ramai penganggur sejak COVID-19 melanda kerana kekangan yang menghalang kita untuk keluar bekerja serta syarikat-syarikat besar yang sedaya upaya mengecilkan skala pekerja untuk mengurangkan kerugian. Memulakan pekerjaan dari rumah adalah pilihan paling cepat, mudah, rendah risiko dan modal yang sedikit serta pulangan segera. Pelbagai resepi kek, biskut, roti atau apa saja juadah boleh dipelajari terus daripada internet tanpa membayar apa-apa yuran. Makanan yang mengikut arus semasa seperti makanan Korea juga menguntungkan untuk dijual dari rumah. Permintaan yang berterusan dengan memanfaatkan media sosial sebagai medium untuk memasarkan hasil masakan anda boleh membantu menjana pendapatan dari rumah.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

A freelance content creator and blogger at tangangebu27.blogspot.com