Khasiat Barli Untuk Kesihatan

Sedapnya meminum segelas barli bersama campuran jus lemon pada cuaca panas untuk melegakan tekak yang kering (parched throat).

Barli bukan sahaja sesuai untuk dijadikan minuman, sama ada dihidangkan sebagai minuman panas atau minuman sejuk, barli juga boleh ditambah di dalam menu makanan anda.

Barli dikenali dengan nama botaninya sebagai Hordeum vulgare dan berada pada kedudukan kelima dunia tanaman bijirin selepas gandum, oats, padi, dan jagung. Ianya mempunyai banyak manfaat kesihatan.

Sumber Gambar: Xtra

Tekstur barli sedikit chewy dan mempunyai sedikit rasa seperti kacang (nutty flavor).

Barli bukan sahaja sekadar melegakan tekak pada cuaca panas, namun ianya mempunyai kandungan nutrisi yang baik untuk tubuh badan. 

Antaranya ialah karbohidrat, serat beta-glucan, protein, lemak, thiamin, riboflavin, niasin, vitamin B6, folat, zat besi, tembaga, magnesium, fosforus, kalium, zink, mangan dan selenium.

Khasiat Barli Untuk Kesihatan

Menurunkan kolesterol

Barli mempunyai kandungan tokol (tocols) yang membantu menurunkan kolesterol LDL dan memperbaiki kesihatan kardiovaskular tubuh. 

Antioksidan di dalam barli seperti vitamin E, beta-karoten, lutein dan zeaxanthin, juga membantu melindungi dan memperbaiki kerosakan sel yang disebabkan oleh tekanan oksidatif.

U.S. Food and Drug Administration (FDA) mengkaji dan melaporkan khasiat barli untuk penyakit jantung dan kolesterol.

Mengawal gula dalam darah

Kandungan serat yang terdapat pada barli serta indeks glisemik rendah (low GI) membantu memperlahankan penyerapan gula di dalam saluran pencernaan dan ini boleh menurunkan kadar gula dalam darah, lantas boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit kencing manis.

Membantu menurunkan berat badan

Barli mempunyai serat yang membantu pencernaan agar lebih teratur. Serat yang banyak juga membantu anda merasa kenyang lebih lama.

Air barli membantu memberikan hidrasi kepada badan, mempunyai banyak kalori dan sangat sedikit kandungan lemak. 

Ianya sesuai diambil di antara waktu makan untuk membuatkan anda berasa kenyang dan mengelakkan anda mengambil makanan ringan yang tidak berkhasiat. 

Faktor ini menjadikan air barli sebagai strategi berkesan untuk membantu mengurangkan berat badan, dan lebih efektif apabila digabungkan dengan senaman dan diet sihat.

Kaya kandungan vitamin dan mineral yang baik untuk tubuh

Sama ada anda mengambil pearled barley atau Chinese barley, kedua-duanya tetap sama kaya kandungan vitamin, mineral dan antioksidan yang memberikan kebaikan kepada tubuh.

Barli mempunyai vitamin B yang dikenali sebagai niasin. Niasin membantu mengubah makanan menjadi tenaga, dan penting dalam sistem saraf juga kesihatan kulit. 

Kandungan vitamin B6 membantu kesihatan otak, memperbaiki mood, merawat PMS dan mengurangkan risiko depresi.

Mangan merupakan nutrien penting membantu tubuh kita berjalan, selenium penting untuk kesihatan tiroid, dan fosforus penting untuk tulang dan gigi yang sihat serta zat besi untuk pembentukan hemoglobin.

Mengatasi masalah sembelit, mencegah barah, dan mengurangkan keradangan

Serat diperlukan tubuh untuk memindahkan makanan ke perut dan keluar dari usus. 

Kandungan serat membantu kepada pergerakan usus yang sihat dan ini sangat penting agar sistem pencernaan tubuh berada dalam keadaan yang baik. 

Sistem pencernaan yang baik boleh mengelakkan seseorang daripada berhadapan dengan masalah sembelit.

Kandungi asid ferulat (ferulic acid) yang terdapat di luar serat dikatakan boleh mencegah ketumbuhan tumor, dan ada kajian menunjukkan antioksidan yang terdapat pada barli membantu menghentikan pembiakan sel barah usus.

Barli mempunyai betaina (betaine) yang boleh ditukarkan oleh tubuh menjadi kolin. Kolin adalah nutrien yang boleh membantu mengurangkan keradangan.

Selain mengurangkan keradangan, kolin membantu mendapatkan tidur yang baik, meningkatkan pergerakan otot dan memperbaiki daya ingatan.

Kolin juga mengekalkan struktur membran selular, membantu penghantaran impuls dan membantu penyerapan lemak.

Menyokong sistem imun

Menambahkan jus lemon ke dalam air barli memberikan tubuh mendapat vitamin C. Secara tidak langsung, ini membantu menyokong sistem imun kepada tubuh.

Sebagai home remedies 

Barli sangat mudah didapati. Anda boleh membelinya di pasaraya atau belian atas talian.

Barli boleh dijadikan sebagai home remedies antaranya ialah melegakan tekak yang kering, mengurangkan panas badan ketika demam, melawan sembelit, cirit birit, dan merawat urinary tract infection (UTI)

Ketika mengalami cirit birit, minumlah air barli untuk menghidrasikan tubuh.

Dalam merawat UTI pula, sifat barli adalah diuretik. Meminum air barli akan meningkatkan kadar penghasilan air kencing dan membantu mengeluarkan toksik dan bakteria yang menyebabkan jangkitan. 

Disarankan minum beberapa gelas air barli dalam sehari sehingga masalah UTI hilang. Namun sekiranya masalah berterusan, anda perlulah mendapatkan rawatan doktor.

Barli juga sesuai diminum oleh ibu mengandung kerana kandungan nutrien yang baik seperti zat besi untuk penghasilan hemoglobin dan serat membantu mencegah sembelit yang selalu terjadi di kalangan ibu mengandung.

Tambahkan barli ke dalam menu makan anda

Ada beberapa pilihan menarik untuk menambahkan barli ke dalam menu anda. 

Anda boleh membuat minuman barli bersama madu, menambahkan fucuk, mahupun hirisan lemon.

Sumber Gambar: David Thielen di Unsplash

Untuk masakan, barli boleh ditambah di dalam masakan seperti sup, stew, bubur dan sayuran salad.

Barli juga boleh dijadikan sarapan sereal  dan alternatif pengganti nasi. Untuk yang lebih kreatif, apa kata anda membuat puding dan aiskrim berasaskan barli.

Untuk melembutkan barli, ianya mengambil masa yang agak lama untuk dimasak.

Merendam barli selama beberapa jam membantu mengurangkan masa untuk memasaknya dan mendapatkan tekstur barli yang lembut.

Selepas merendam selama beberapa jam, tos dan buang air rendaman.

Kemudian tambah nisbah 1 cawan barli kepada 3-4 cawan air dan masak hingga air mendidih, kurangkan api dan biarkannya mereneh selama 45 minit.

Nisbah cawan boleh ditambah atau dikurangkan terpulang kepada kadar kepekatan air barli yang anda suka.

Untuk membuat minuman, boleh ditambah madu, atau gula batu mengikut tahap kemanisan masing-masing.

Barli juga boleh ditambah ke dalam minuman kegemaran anda seperti kopi dan teh.

Jom jadikan barli sebagai minuman kegemaran

Barli sememangnya mempunyai kandungan nutrisi yang baik untuk kesihatan tubuh. Namun begitu, sesetengah orang perlu berhati-hati dalam pengambilan barli.

Sekiranya anda sensitif dengan gluten, elakkan mengambil barli di dalam menu makanan anda kerana dikatakan barli mempunyai kandungan gluten.

Barli juga mempunyai kandungan kalori yang tinggi. Jadi bagi mereka yang mementingkan pengiraan kalori di dalam menu mereka, elakkan mengambil barli dalam jumlah yang banyak.

Banyaknya manfaat barli. Jadi untuk kesihatan yang lebih baik, tambahkan barli di dalam menu makanan anda dan jadikan barli antara minuman kegemaran anda.


Emphi Yap adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Emphi Yap
Author: Emphi Yap

Ex-QAQC engineer turned SAHM and Review Blogger at MrsPip.com 💚