Lakukan Lima Langkah Ini Untuk ‘Move On’ Selepas Perceraian

Tiada perkahwinan yang dirancang untuk akhirnya bercerai kerana penyatuan dua insan dalam membina keluarga merupakan matlamat suci untuk meneruskan generasi keluarga. Dalam Islam, perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW yang apabila terlaksananya sebuah akad, maka seseorang itu telah menyempurnakan sebahagian agamanya. Perkahwinan juga sebuah ibadah yang amat panjang kerana setiap perlakuan baik seorang suami terhadap isteri, mahupun perbuatan baik isteri kepada suami akan memberi pahala buat pasangan tersebut.

Namun begitu, bak kata peribahasa Melayu sedangkan lidah lagi tergigit. Inikan pula suami isteri amat bertepatan bahawa tiada rumahtangga yang tidak pernah dilanda masalah baik masalah ekonomi, komunikasi, mahupun penglibatan orang ketiga. Perceraian menjadi satu pilihan apabila tiada persefahaman dan penyelesaian masalah menemui jalan buntu walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan. Perceraian juga tidak bererti permusuhan malah boleh menjadi satu jalan pendamaian serta jalan keluar bagi kemelut rumahtangga yang melibatkan pengabaian hak dan juga keganasan dalam perkahwinan.

Foto oleh cottonbro daripada Pexels

Tidak kira suami mahupun isteri, kedua-dua belah pihak akan merasa tekanan dari segi emosi setelah berlaku perceraian. Apabila melibatkan hati dan perasaan, ia tidak semudah masalah yang melibatkan hukum syarak kerana sesuatu yang telah ditetapkan sebagai undang-undang atau hukum boleh ditimbang dan dibicarakan. Bagi anda yang sedang melalui fasa selepas perceraian, beberapa langkah atau tindakan boleh dilakukan agar anda boleh bangkit selepas perceraian.

Perkara utama adalah anda harus mendapatkan sokongan moral daripada ahli keluarga terutama sekali ibu bapa ataupun orang yang paling anda percaya. Tidak mudah bagi wanita setelah bergelar janda mengharungi kehidupan selepas perceraian kerana pandangan masyarakat terhadap status janda itu seolah-olah menurunkan darjat anda apabila bercerai. Orang luar iaitu orang yang tiada perkaitan dalam isu rumahtangga anda tidak akan memahami tentang keputusan anda untuk memilih jalan perpisahan dan anda tidak perlu memberi penjelasan sebagai alasan bagi menjawab pertanyaan mereka. Status janda juga sering dikaitkan dengan isu ‘perampas suami orang’ menyebabkan masyarakat memandang negatif tentang status tersebut. Berbahagialah kerana dengan izin Allah, anda telah berjaya keluar daripada keganasan atau penindasan rumahtangga dan memilih untuk tidak berterusan menzalimi dan dizalimi.

Perceraian sering dianggap sebagai sesuatu yang negatif kerana bersifat perpisahan berbanding perkahwinan yang sifatnya sebuah penyatuan suci. Oleh kerana ianya sesuatu yang dipandang tidak baik, tidak bermakna ianya suatu yang ditegah. Perkahwinan yang dipenuhi dengan kekerasan, rasa benci, tiada keharmonian lebih buruk berbanding perpisahan yang membuka jalan kepada kehidupan yang lebih tenang buat kedua-dua belah pihak. Justeru itu, anda mesti membuang suatu pandangan yang buruk dan melihat perceraian sebagai perkara positif yang berlaku dalam hidup. Sudah tentu banyak pihak akan mempersoalkan mengapa tidak memilih jalan sabar untuk mengharungi masalah rumahtangga. Tidak dinafikan setiap permasalahan pasti ada jalan keluar, dan perceraian juga adalah salah satu jalan yang diredai dalam menyelesaikan masalah. Perceraian itu dipilih sebagai jalan terakhir yang terkandung banyak hikmah untuk dipelajari.

Foto oleh Anastasiya Lobanovskaya daripada Pexels

Sebagai sebuah pasangan suami isteri yang telah berkongsi hidup dan pernah saling mencintai, banyak kebaikan serta keburukan pasangan yang kita ketahui. Setelah bercerai, simpan rapi aib-aib atau keburukan pasangan masing-masing dan tidak mendedahkan kepada umum dengan tujuan untuk mengaibkan bekas pasangan. Perceraian bukan tiket untuk menyebarkan aib kerana rasa dendam dan amarah kepada bekas pasangan anda. Ambil masa sebanyak yang perlu untuk diri anda mengharungi fasa selepas perceraian atau tempoh iddah bagi wanita. Adalah lebih baik untuk menghindarkan diri daripada berkongsi status-status emosi dengan niat memberi gambaran permasalahan peribadi anda kerana kebencian pada bekas pasangan dan kemaafan yang masih belum terlerai. Seperti mana bekas pasangan, diri kita juga mempunyai banyak kelemahan yang masih boleh diperbaiki. Justeru itu, niatkan rasa ikhlas untuk memberi maaf kepada bekas pasangan agar diri anda lebih tenang menghadapi hari yang mendatang.

Terlalu banyak nilai dan pengajaran yang boleh diambil bagi anda yang telah melalui perceraian. Usahakan sedaya upaya untuk bersangka baik dan ‘move on’ daripada perpisahan ini dengan tidak menyalahkan diri sendiri atau bekas pasangan. Setiap apa yang telah berlaku, pasti ada hikmah disebaliknya. Jangan rasa menyesal atas perkahwinan yang telah berlaku atau rumahtangga yang telah hancur kerana boleh jadi lebih besar kebaikan yang ingin Allah berikan disebalik ujian ini. 1 tahun, 5 tahun, 10 tahun atau malah 20 tahun perkahwinan yang telah berakhir ini jangan dianggap satu kerugian yang besar dalam hidup. Ianya telah menjadikan siapa diri anda pada hari ni, iaitu orang yang lebih kuat dan lebih baik daripada hari semalam.

Sebuah kemaafan yang diberikan itu tidak mudah, tetapi tidak bererti kita melupakan pengalaman yang negatif yang dilalui apabila kemaafan diberi walaupun tidak diminta. Oleh itu, maafkan diri anda dan maafkan bekas pasangan anda supaya anda boleh meneruskan langkah maju ke hadapan. Tidak salah untuk bersedih dan memberikan masa untuk diri anda kerana sifat manusia yang sememangnya dijadikan sebagai tindak balas atas perkara yang tidak disangka akan terjadi. Walau bagaimanapun, kesedihan dan rasa pesimistik yang berpanjangan mengganggu kualiti hidup perlu dielakkan. Sekiranya anda sedang melalui fasa hidup selepas perceraian dan merasa sukar, cuba dapatkan khidmat nasihat daripada kaunselor untuk membantu diri anda melalui fasa ini dan sembuh dengan baik.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

BSc Food Nutrition, MSc Immunology. PhD student in Biomedicine Pharmacology