Mengapa Teh Oolong dan Teh Hijau Merupakan ‘Superfood’ untuk Pengurusan Obesiti

Malaysia merupakan negara nombor satu di Asia Tenggara dengan masalah obesiti tertinggi. 50.1% orang dewasa di Malaysia mempunyai masalah berat badan berlebihan dengan majoriti daripadanya adalah kaum wanita. Faktor-faktor yang mendorong kepada masalah obesti termasuklah faktor tabiat pemakanan, gaya hidup yang tidak aktif, faktor persekitaran, genetik, penyakit sedia ada, stress atau tekanan yang dialami serta kesan pengambilan ubat-ubatan. Pengurusan masalah obesiti perlu menjadi fokus utama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membendung risiko penyakit yang berpunca daripada masalah berat badan seperti kencing manis, darah tinggi, tinggi kolesterol dan sebagainya.

Terdapat pelbagai produk ‘kuruskan badan’ dihasilkan dan diiklankan sebagai sangat efektif untuk membantu mempercepatkan proses penurunan berat badan dengan mempromosikan ‘bahan semulajadi’ yang terdapat dalam produk tersebut. Teh hijau merupakan minuman yang biasa dinikmati oleh pengguna di seluruh dunia. Ianya dikatakan mengandungi kandungan bioaktif yang boleh mengurangkan kenaikan berat badan dan merawat masalah obesiti. Walau bagaimanapun, ilmu sains di sebalik pengambilan teh dan pencegahan kegemukan adalah kompleks dan sedang berkembang kerana sesetengah kajian mendapati kesan positif teh kepada tubuh badan sedang kajian lain tidak.

Photo by samer daboul from Pexels

Teh diklasifikasikan kepada tiga jenis kaedah penapaian (fermentation) yang berbeza iaitu teh tidak ditapai (teh hijau dan teh putih), teh separa tapai (teh oolong), dan teh ditapai penuh (teh hitam dan pu’er). Setiap jenis teh mempunyai kadar sebatian bioaktif yang berbeza yang termasuklah kandungan katekin, kafein, hasil produk pengoksidaan polifenol. Teh hijau biasanya menjadi subjek utama kepada kajian sains kerana ia mempunyai kandungan sebatian polifenol tertinggi dan berupaya mengekalkan kadar antioksidan paling tinggi berbanding jenis teh yang lain. Namun begitu, kajian terbaru mendapati penurunan kadar pengumpulan komposisi lemak dalam badan tiada kaitan dengan aktiviti antioksidan, tetapi ianya berkait rapat dengan perencatan enzim dan interaksi mikrobiota dalam usus manusia.

Kajian makmal oleh Huang dan rakan-rakan pada tahun 2014 mendapati teh hijau memainkan peranan penting dalam proses metabolisma lemak dalam badan dengan mendorong pengurangan selera makan, menganggu proses emulsi dan penyerapan lemak dalam tubuh, meningkatkan penggunaan tenaga seterusnya membantu pembuangan lemak melalui najis. Selain itu, kajian lain di negara China mendapati kandungan polifenol dalam teh mempunyai tindak balas dengan asid lemak dalam sistem pencernaan yang juga menurunkan kadar penyerapan karbohidrat justeru mendorong penurunan berat badan.

Tambahan lagi, kajian lain oleh William tentang kebaikan teh oolong membuat kesimpulan bahawa amalan meminum teh oolong sebanyak empat kali sehari selama enam minggu membantu menurunkan berat badan sehingga 2.5 kilogram dalam peserta wanita. Data kajian tersebut juga mengatakan teh oolong membantu menurunkan berat badan dengan meningkatkan pembakaran tenaga sehingga 20% berbanding peserta yang tidak mengambil teh tersebut. Kajian Rong-Rong dan rakan-rakan pula mendapati penurunan yang signifikan dalam profil lipid peserta yang mengamalkan teh oolong selama enam minggu serta penurunan berat sehingga 3 kilogram.

Photo by Anna Pou from Pexels

Secara kesimpulannya, teh oolong dan teh hijau didapati mempunyai ciri-ciri anti-obesiti yang membantu mempercepatkan penurunan berat badan selain menurunkan paras kolesterol dalam darah. Amalan minum teh bukan lagi kerana tradisi sahaja tetapi juga nilai teraputik yang ada pada daun teh dapat memberi manfaat kesihatan yang banyak kepada rakyat Malaysia untuk mengamalkannya. Akan tetapi, bagi memastikan teh dapat memberi kebaikan pada kesihatan tubuh pengambilan teh yang tinggi gula harus dikawal dan dikurangkan.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

A freelance content creator and blogger at tangangebu27.blogspot.com