Minum Kopi Tidak Baik Untuk Kesihatan? Ini Sebabnya Anda Tidak Perlu Rasa Bersalah Minum Kopi

Secawan kopi boleh menceriakan hari anda, menghirupnya memberikan rasa tenang.

Tetapi, adakah minum kopi baik untuk anda?

Menjadikan kopi sebagai minuman kegemaran, ketahui kesan kebaikan dan keburukan daripada amalan pengambilan kopi dalam badan.

Kopi merupakan antara minuman yang paling dikenali dan popular di seluruh dunia. Kopi boleh diminum sebagai minuman panas ataupun dijadikan minuman sejuk dengan menambahkan ais padanya. 

Biasanya kopi dibancuh bersama campuran gula, susu dan krimer sebagai penambah rasa untuk menjadikanya lebih lazat. 

Namun penggemar kopi kosong iaitu meminum kopi tanpa sebarang penambah rasa ataupun pemanis dapat menikmati rasa kopi sebenar selain mengekalkan antioksidan dan nutrisi-nutrisi bermanfaat kepada tubuh yang terdapat pada kandungan kopi yang diminum.

Gambar oleh Burst dari Pexels

Kopi baik untuk kesihatan

Kopi dikenali dengan minuman yang mengandungi kafein. Dan kafein adalah penyebab yang akan membuatkan seseorang itu ketagih dan menyebabkan pengambilan kopi yang berlebihan.

Namun, kafein itu sendiri juga memberikan kebaikan kepada tubuh sekiranya diambil dalam jumlah yang sederhana.

Meningkatkan daya ingatan

Kandungan kafein dalam kopi merupakan perangsang kepada sistem otak. Apabila diminum, ia akan diserap melalui saluran darah dan dihantar ke otak lalu bertindak meningkatkan kadar neurotransmitter seperti norepinephrine dan dopamine. 

Keadaan ini merangsang tindak balas otak untuk meningkatkan kemampuan daya ingatan, perasaan, kewaspadaan dan kognisi iaitu proses mental.

Membantu membakar lemak

Melalui kajian yang dijalankan, kafein pada kopi meningkatkan kadar metabolisme badan dan membantu proses pembakaran lemak sehingga 29%. 

Selain itu, ada juga kajian menunjukkan pengambilan kopi boleh mengurangkan selera makan.

Kesannya, kopi membantu individu mengurangkan lemak dalam badan. 

Tetapi pengambilan kopi yang berterusan untuk jangkamasa yang lama tidak membantu dalam menaikkan kadar metabolisme badan dan pembakaran lemak kerana tubuh sudah terbiasa dengan kehadiran kopi.

Seeloknya, ganti minuman kopi dengan minuman yang lain secara berselang seli setiap minggu untuk memastikan tubuh peka dengan kehadiran kopi.

Meningkatkan prestasi tenaga fizikal

Kesan kafein juga mampu merangsang sistem saraf untuk meningkatkan tenaga fizikal. Ia berlaku apabila tindak balas kafein yang membakar lemak akan menghasilkan asid lemak untuk disalurkan ke sel badan. 

Keadaan ini akan membekal dan meningkatkan kadar tenaga fizikal sehingga 12%. Semasa proses ini berlaku, kafein juga merangsang peningkatan kadar epinephrine yang merupakan hormon yang diperlukan apabila berlaku peningkatan dalam pergerakan tenaga fizikal.

Meningkatkan daya tumpuan

Meminum kopi meningkatkan daya tumpuan seseorang terhadap aktiviti yang dilakukannya. 

Fungsi otak yang dirangsang oleh kafein akan memberi ketenangan dan tumpuan terhadap minda ketika melakukan sesuatu perkara seperti ketika belajar, beribadah, bekerja, melakukan aktiviti harian dan sebagainya.

Mengandungi vitamin dan mineral

Biji kopi yang dikisar mengandungi beberapa bahan aktif  dan mineral yang diperlukan oleh badan untuk membentuk kesihatan yang baik seperti Vitamin B2 (Riboflavin), B5 (Asid Pantotenik), B3 (Niasin), Mangan, Kalium dan Magnesium.

Membantu menghindar daripada beberapa jenis penyakit

Banyak sumber membuktikan bahawa amalan meminum kopi dapat mencegah daripada beberapa penyakit seperti lupa ingatan (Alzheimer), kerosakan sel otak (dementia), kerosakan pada sistem saraf (Parkinson) dan angin ahmar (strok). 

Kandungan polifenol bertindak sebagai antioksidan melindungi sel-sel tubuh daripada serangan radikal bebas dan ini mengurangkan risiko tekanan oksidatif.

Kandungan magnesium dalam kopi membantu meningkatkan keberkesanan metabolisme insulin dan glukosa dalam badan, dan ini mengurangkan risiko mendapat penyakit kencing manis.

Selain itu, ada juga kajian yang mengatakan mereka yang menggemari kopi mempunyai risiko rendah menghidap kanser hati dan kolon.

Baik untuk penjagaan hati (liver)

Hati adalah organ dalam badan yang berfungsi sebagai pembersih darah, memproduksi protein, membantu metabolisme, menyimpan tenaga, membekal hormon dan kolesterol, membantu proses pencernaan dan sebagainya. 

Pengambilan sehingga 4 cawan kopi sehari dikatakan mampu mengurangkan risiko gejala sirosis pada organ hati yang mungkin disebabkan oleh jangkitan virus hepatitis dan masalah hati berlemak (fatty liver disease) .

Keburukan pengambilan kopi yang berlebihan

Setiap orang mempunyai toleransi berbeza terhadap pengambilan kopi dan ini biasanya disebabkan oleh kandungan kafein yang terdapat di dalamnya.

Kita sememangnya boleh mendapat manfaat kesihatan yang baik dengan pengambilan kopi. Disyorkan kafein yang terdapat dalam kopi diambil tidak melebihi 400 mg sehari, bersamaan sekitar 4 – 6 cawan kopi. 

Perlulah diingatkan, pengambilan kopi secara berlebihan boleh menjejaskan kesihatan. Selain itu, bahan tambahan dalam kopi juga mempengaruhi seberapa sihat minuman tersebut.

Contohnya menggunakan krim dan gula untuk dicampur bersama kopi, sebaliknya gantikan dengan susu, atau perasa semulajadi seperti ekstrak vanilla, pelaga, kayu manis, serbuk koko dan madu asli.

Masalah kardiovaskular

Apabila diminum terlalu banyak setiap hari, kafein akan memberi risiko kepada berlakunya kemerosotan kardiovaskular yang mempengaruhi fungsi jantung, tekanan darah dan kecerdasan diri. 

Kardiovaskular adalah sistem penting dalam badan yang terdiri daripada komponen jantung, paru-paru, saluran darah, darah dan otot. 

Menyebabkan ulser dan asid

Kandungan kafein dan asid dalam biji kopi mampu memberi kesan lemah terhadap lapisan perut dan usus yang mana ia menyediakan tempat untuk bakteria lebih aktif berkembang. 

Keadaan ini berpotensi berlakunya irritable bowel syndrome yang menyebabkan sembelit ataupun cirit birit.

Meningkatkan tekanan darah

Bagi individu yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi, minum minuman berkafein perlulah diambil dengan berhati hati kerana risiko peningkatan tekanan darah boleh berlaku.

Diuretik

Minum kopi secara berlebihan menyebabkan berlakunya diuretik. Kafein boleh membuat kawalan pundi kencing menjadi lebih teruk dengan meningkatkan kekerapan membuang air kecil.

Ini boleh menyebabkan dehidrasi apabila air di dalam tubuh terlalu kerap dikeluarkan.

Osteoporosis

Masalah osteoporosis boleh berlaku kerana minuman berkafein seperti kopi boleh menyebabkan kalsium berkurangan dan ini memberikan risiko lemah tulang.

Kalsium yang hilang akibat pengambilan kopi dalam jumlah yang banyak boleh ditebus dengan pengambilan pil kalsium ataupun menambahkan menu yang kaya kalsium di dalam diet harian masing-masing.

Risiko pengambilan kopi untuk ibu mengandung

Keadaan bayi dalam kandungan akan terganggu oleh kehadiran kafein yang berlebihan. 

Ini kerana sifat kafein yang menyerap zat dan sumber makanan akan menghalang bekalan tersebut disalur kepada bayi yang memerlukannya. 

Namun demikian, sebahagian besar pakar menyatakan bahawa pengambilan kafein adalah selamat jika diambil tidak melebihi 1 cawan sehari bagi ibu yang mengandung.

Untuk mereka yang ingin mengurangkan ketagihan kopi, disarankan mengurangkan jumlah pengambilan kopi secara perlahan-lahan untuk tidak memberikan kejutan kepada tubuh.

Go slow.

Pengurangan pengambilan kopi secara mendadak boleh memberikan kesan seperti sakit kepala dan kegelisahan

Selain itu, alternatif memilih kopi yang tidak mengandungi kafein (decaf coffee) juga boleh dilakukan berselang seli dalam usaha mengurangkan ketagihan terhadap kopi.

Gambar oleh Victoria Alipatova dari Pexels

Pilihlah kopi yang mengandungi kualiti yang baik.

Biji kopi yang diproses dengan kaedah tertentu seperti digoreng dengan majerin sebelum biji kopi dikisar ataupun diproses menjadi kopi segera tidak dapat mengekalkan kandungan nutrien dalam biji kopi tersebut.

Pengambilan kopi baik untuk kesihatan, tetapi perlulah diingat bahawa faktor yang memberi kesan yang lebih besar pada kesihatan ialah dengan mengambil makanan yang seimbang, bersenam, menjaga kebersihan dan rehat yang cukup.

Jangan teragak-agak untuk menikmati secawan kopi kegemaran anda. 

Apa yang anda perlukan hanyalah berjaga-jaga dengan pengambilan yang berlebihan yang boleh menjejaskan kesihatan anda.


Emphi Yap adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Emphi Yap
Author: Emphi Yap

Just A Mommy Review And Content Writer 🌻