Resepi Keropok Lekor Homemade Lembut dan Tidak Liat

Terengganu merupakan salah satu negeri yang berada di pantai timur yang popular dengan tarikan pelancongan. Bagi sesiapa yang nak bercuti ke Terengganu, jangan lepaskan peluang untuk merasai keenakkan sebenar keropok lekor Terengganu. Keropok lekor bukan sahaja menjadi hidangan utama di Terengganu, malah turut menjadi hidangan kegemaran seluruh rakyat Malaysia.

Disebabkan kita masih lagi tidak boleh merentas negeri, jadi saya kongsikan resepi keropok lekor homemade lembut dan tidak liat. Resepi keropok lekor ni boleh dijadikan minum petang buat seisi keluarga, lagi sedap apabila dicicah bersama dengan sos keropok lekor. Tanpa tunggu lama, jom kita cuba resepi keropok lekor. Selamat mencuba!

Sumber : Iluminasi

Bahan-bahan untuk membuat keropok lekor : 

  • 8 ekor ikan selayang atau ikan sardin
  • 2 Cawan tepung sagu (jika tiada, boleh digantikan dengan tepung ubi)
  • Sedikit garam
  • Sedikit ais

Cara-cara membuat keropok lekor :

Ini adalah langkah-langkah pembuatan keropok lekor :


1. Siang dan cuci ikan. 

8 ekor ikan selayang tu tadi, bersihkan dan potong kepala ikan selayang tu. Kalau ambil kepalanya, tak sedap pula nanti. Jadi buang sahaja kepala ikan tu, tak rugi pun. Cuci bersih-bersih ikan selayang tu dan asing-asingkan tulang dengan isi. Kena buang segala tulang-tulang yang melekat di ikan sebab kita tak mahu bila makan keropok lekor tu nanti adanya tulang yang boleh tersekat di kerongkong. Dah jadi satu masalah pulak.

2. Blend ikan.

Bila dah asingkan tulang dengan isi, boleh masukkan ke dalam blender untuk diblendkan. Masukkan juga sedikit garam dan beberapa ketul ais. Setelah itu, blend sampai lumat. Kenapa masuk ais? Boleh je kalau nak masuk air, tapi kita tak mahu ikan yang kita blend tu terlalu banyak ais dan akan membuatkannya cair. 

3. Satukan bahan.

Masukkan ke dalam bekas apabila ikan yang sudah diblend sehingga luma. Selepas itu, masukkan juga 2 cawan tepung sagu dan gaul bersama sampai rata. Masa ni, boleh tambah atau kurangkan tepung, ikut kesesuaian kita apabila nak menguli. Anda perlu uli sampailah jadi doh, jika nak tambah atau kurangkan tepung terpulang atas kita. Kalau rasa lembik tambahlah tepung, kalau rasa dah terlalu keras tak perlu tambah tepung.

4. Sedia untuk diuli.

Taburkan sedikit tepung dipermukaan yang rata bagi memudahkan proses menguli keropok lekor. Uli dan gentel keropok lekor tu jadi memanjang. Macam bentuk keropok lekor yang biasa kita makan, kang buat bentuk bulat, segitiga kang pelik dan orang tak mahu makan pulak. Jadi itu, gentel bagi keropok lekor tu memanjang ye.

5. Sedia untuk direbus.

Bila dah siap menggentel secara memanjang, bolehlah sediakan air yang mendidih untuk proses merebus. Jangan masukkan keropok kalau air tak mendidih, harus tunggu sampai air mendidih barulah masukkan keropok lekor yang kita dah gentel tadi. Angkat keropok lekor ni bila keropok timbul di permukaan air. Dah timbul, baru angkat. 

Keropok Lekor, Boleh Makan Secara Goreng Atau Direbus.

6. Makan secara direbus atau digoreng.

Bila dah siap rebus, dah boleh makan keropok lekor tu dengan cicah sos pencicah atau pun boleh juga potong kecil-kecil untuk menggoreng. Dua-dua cara boleh juga untuk makan keropok lekor, kalau korang nak rasa ikan tu makanlah selepas direbus. Makan keropok lekor yang digoreng pun sedap juga. Cuba je dua-dua cara, tak ada masalah pun.

Alhamdullilah, selesai dah cara membuat keropok lekor homemade lembut dan tidak liat. Bahan-bahan pun mudah je kan? Buat sendiri pun dah boleh, ini kalau bagi mak mertua makan pasti jadi anak menantu kesayangan. Serba-serbi makanan semua boleh buat, yang penting adalah kerajinan untuk membuatnya.

Dah tentu suami dan anak-anak suka keropok lekor ni. Lagi satu, duit pun boleh jimat, nak beli pun bukan murah. 5 ketul berharga RM2, kalau seorang makan dah RM4, kalau ramai dah berapa banyak dah nak keluarkan duit. Sekali-sekala bolehlah beli, kalau selalu, hmm botak juga kepala.

Selamat mencuba!


ombakbergigi adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

ombakbergigi
Author: ombakbergigi

Bukan rezekimu sempit, tetapi sedekahmu yang sedikit.