Alpha Arbutin Bukan Sekadar Pemutih Wajah: Ketahui 5 Manfaatnya Pada Kulit Wajah

Arbutin adalah sejenis molekul kimia yang terdapat secara semulajadi dalam daun pokok buah-buahan seperti bearberry, cranberry, gandum, blueberry, dan buah pir. Arbutin ini juga boleh dihasilkan secara sintetik. Arbutin diakui mempunyai sifat mencerahkan kulit yang lebih efektif berbanding kojic asid dan akar licorice. Arbutin dikategorikan sebagai ekstrak daripada tumbuh-tumbuhan yang dijadikan agen pencerah kulit wajah yang digunakan secara topikal kerana ia mempunyai sifat sebagai pencegah tirosin. Secara biologinya, tirosin merupakan sejenis asid amino yang bertukar kepada melanin apabila melalui sel melanosit. Melanin yang terhasil akan menyumbang kepada hiperpigmentasi, bintik-bintik hitam, dan tona kulit tidak sekata. Oleh itu, kehadiran arbutin akan menghalang penghasilan tirosin yang bertukar kepada melanin pada permukaan kulit memberikan keadaan kulit yang lebih licin, cerah dan tona lebih sekata.

Hiperpigmentasi pada kulit ini termasuklah jeragat, parut jerawat, bintik-bintik penuaan, dan bintik-bintik kesan daripada pendedahan matahari. Arbutin yang biasanya menggunakan sumber semulajadi membantu mencegah dan merawat masalah pigmentasi tersebut pada kulit. Arbutin juga memberi kesan kulit wajah yang sihat, cerah, atau dengan kata lain ‘flawless‘ serta menghalang hiperpigmentasi. Kelebihan arbutin untuk memudarkan parut jerawat adalah bersesuaian dengan sifat kimianya yang ‘gentle on skin‘ tanpa memberi kesan kerengsangan atau inflamasi kerana individu dengan kulit berjerawat biasanya mempunyai kulit yang sensitif. Parut jerawat adalah berlainan setiap individu termasuklah warna parut yang berlainan tona perang atau merah. Ianya juga tidak memberi kesan buruk seperti menggalakkan pertumbuhan jerawat mahupun menyebabkan kulit berminyak.

Photo by Ike louie Natividad from Pexels

Tambahan lagi, arbutin mengambil masa untuk mula aktif secara perlahan pada kulit wajah membuatkan ianya selamat dipakai pada kulit sensitif sebanyak dua kali sehari untuk memberikan kesan maksimum. Alpha arbutin biasanya boleh didapati dalam produk penjagaan kulit seperti serum, pelembap kulit (moisturiser), ataupun masker wajah (mask sheet). Ianya tidak memberi kesan buruk (side effect) seperti hydroquinone yang boleh menyebabkan kerosakan kekal pada kulit sekiranya pemakaian melebihi dos atau cara yang salah. Hydroquinone memberi kesan yang pantas dan kuat tetapi ianya berasal dari sumber sintetik, agresif dan kerosakan kulit seperti bintik-bintik kelabu yang sukar dirawat. Oleh kerana arbutin mempunyai sifat anti-oksidan dan anti-inflamasi, amalan penggunaannya boleh membantu kepada kulit wajah yang lebih sihat.

Teknik penggunaan arbutin perlu mengikut cara yang betul supaya anda beroleh manfaat yang maksimum. Pastikan anda melakukan ujian tampalan terlebih dahulu sebelum menggunakan apa-apa produk penjagaan kulit. Kesan sebarang iritasi atau kemerahan pada kulit apabila pertama kali menggunakan produk mengandungi arbutin untuk mengetahui tahap sensitif anda pada bahan tersebut. Setelah ujian tampalan dibuat, anda boleh mula mengamalkan penggunaan arbutin dengan memfokuskan pada bahagian yang mempunyai pigmentasi yang ketara seperti bintik-bintik hitam, jeragat, dan sebagainya.

Photo by Anna Nekrashevich from Pexels

Arbutin menghadkan penghasilan melanin pada kulit akan menyebabkan kulit anda lebih mudah sensitif dengan sinaran UV. Ini kerana melanin mempunyai fungsi menghalang kulit daripada terbakar kesan daripada pendedahan kepada cahaya matahari.

Oleh itu, pastikan anda mengamalkan pemakaian sunscreen setiap hari serta menghadkan pendedahan kulit pada cahaya matahari terlalu lama. Arbutin adalah selamat dipakai bersama produk penjagaan kulit yang lain selain memudarkan bintik hitam. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai luka atau jerawat aktif pada kulit, elakkan pemakaian arbutin terlebih dahulu untuk mengelakkan kesan reaktif pada kulit. Arbutin biasanya selamat untuk kulit sensitif, tetapi terdapat juga individu yang mempunyai alahan dengan alpha arbutin yang akan menyebabkan inflamasi. Kesan ketara dapat dilihat setelah amalan satu hingga dua bulan pemakaian arbutin ini. Sekiranya anda ingin mendapatkan produk arbutin ini, pastikan anda membeli ‘alpha arbutin’ bukannya ‘beta arbutin’ yang merupakan sumber yang murah, sintetik dan boleh merosakkan kulit wajah.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

A freelance content creator and blogger at tangangebu27.blogspot.com