Bagaimana Probiotik Membantu Menyembuhkan Masalah Kemurungan dan Stress?

Photo by Alicia Harper from Pexels

Pada artikel yang lalu saya berkongsi tentang bagaimana yogurt boleh membantu menurunkan paral kolesterol dalam tubuh badan. Probiotik atau ‘bakteria baik’ bukan hanya terdapat dalam yogurt sahaja, tetapi juga dalam makanan yang ditapai seperti kimchi atau sauerkraut, tempeh, serta budu. Tahukah anda tabiat pemakanan dan juga tekanan perasaan boleh mempengaruhi ‘mikroflora’ dalam sistem pencernaan yang akan memberi risiko buruk pada kesihatan? Probiotik sebenarnya wujud secara semula jadi dalam perut dan usus manusia serta berfungsi menjaga kesihatan sistem pencernaan. Perubahan pada mikroflora ini akan mengganggu kesihatan tubuh badan. Kajian sains telah mendapati mikroorganisma dalam usus mempunyai peranan penting dalam mengawal fungsi otak dan kesihatan mental seseorang.

Photo by makafood from Pexels

Probiotik diketahui boleh merangsang saraf vagus di mana saraf otak ke-10 ini merupakan saraf terpanjang dalam tubuh badan yang berhubung dengan pelbagai organ tubuh termasuklah jantung, paru-paru, perut dan juga usus. Terdapat tiga kemungkinan bagaimana probiotik mempunyai hubung kait dengan kesihatan mental.

Pertama, probiotik berupaya menghasilkan dan memandu ‘neurotransmitter‘ yang boleh mempengaruhi nafsu makan, mood, dan juga tabiat tidur. Selain itu, probiotik juga berupaya membantu menurunkan inflamasi dalam badan yang boleh menyebabkan kemurungan. Probiotik juga boleh mempengaruhi fungsi kognitif dan tindak balas anda terhadap tekanan.

Tambahan lagi, terdapat banyak kajian yang berjaya menunjukkan bahawa usus bakteria yang sihat boleh menambah baik fungsi otak seterusnya mempengaruhi kesihatan mental seseorang. Probiotik kini telah dihasilkan dalam bentuk sebuk untuk bancuhan kepada minuman dan juga pil sebagai makanan tambahan (supplement) bukan sebagai ubatan yang mengandungi dadah. Kunci utama kepada keberkesanan probiotik yang diambil adalah konsistensi pengambilan. Probiotik dalam bentuk serbuk atau pil sebenarnya masih diragui keberkesanannya kerana ianya tidak dapat dipastikan sama ada bakteria tersebut masih hidup atau pun tidak. Jika bakteria yang terkandung sudah mati, keberkesanan pengambilan probiotik akan menurun.

Photo by Craig Adderley from Pexels

Pengambilan probiotik dalam bentuk makanan yang ditapai didapati lebih efektif berbanding probiotik yang telah melalui proses pengeringan beku (freeze-dried). Dalam kajian pada tahun 2019, pesakit dengan kemurungan (major depression) telah mengambil supplement probiotik yang mengandungi tiga jenis strain bakteria selama lapan minggu didapati simptom kemurungan berkurang dan skor depression yang menurun. Kajian lain oleh Abautret-Daly dan rakan-rakan pula mendapati pengambilan probiotik secara berterusan setiap hari membantu mengurangkan simptom kemurungan dan kegelisahan (anxiety). Kajian tentang keunikan makanan tradisional di Malaysia yang mempunyai probiotik dan memberi kesan positif kepada kesihatan mental masih belum mendapat liputan meluas.

Walau bagaimanapun, produk seperti budu yang terhasil menggunakan ikan bilis yang ditapai didapati membantu meningkatkan fungsi kognitif otak. Kombinasi pengambilan probiotik bersama prebiotik juga didapati boleh memberi kesan lebih efektif kepada kesihatan tubuh. Ini kerana prebiotik merupakan sumber makanan yang membantu bakteria untuk hidup dan juga memberi kesan positif kepada kesihatan. Kesihatan mental sememangnya memberi pengaruh yang besar kepada pola pemakanan seterusnya mengubah mikroflora dalam sistem pencernaan. Perkaitan antaranya masih lagi diselidik oleh para saintis kerana saraf otak yang bersambung terus kepada organ-organ tubuh menjadi punca perkaitan kesihatan mental dan juga kesihatan sistem pencernaan.

Photo by Anna Shvets from Pexels

Secara kesimpulannya, amalan pemilihan makanan setiap individu amat berkait rapat dengan kesihatan tubuh badan. Begitu juga kesan kesihatan mental yang terganggu kerana tekanan hidup boleh memberi kesan kepada organ tubuh yang lain terutamanya perut dan usus. Secara fizikalnya, seseorang yang mengalami stress berpanjangan cenderung untuk mengabaikan pemakanan yang sihat dan akan mempengaruhi kesihatan serta pemilihan makanan yang tidak seimbang dan tidak bernutrisi. Adalah dicadangkan pengambilan probiotik setiap hari dalam bentuk makanan sedia ada dan mudah didapati seperti yogurt, tempeh, tauhu, budu mahupun cencalok kerana jenis-jenis makanan tersebut juga mengandungi nutrisi yang lain sebagai tambahan kepada probiotik. Harganya yang lebih murah dan berpatutan sesuai untuk diamalkan oleh anda, malah pengambilannya boleh dipelbagaikan sebagai contoh menghidang yogurt rendah lemak bersama buah-buahan kesukaan dapat memenuhi keperluan fiber harian.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

A freelance content creator and blogger at tangangebu27.blogspot.com