Manikarnika Ghat: Pembakaran Mayat di Varanasi

“Bahagia itu tak pasti, hanya mati yang pasti. Maka ingatlah dengan kematian, itu kunci kebahagian. Dan berterima kasihlah kepada kematian, kerana kematian adalah guru terbesar dalam hidup.”

– Raj

Esak tangis mengiringi pemergian seorang lelaki tua berkasta Brahmin. Raungan, ratapan, dan air mata membasuh aroma kesedihan. Jenazah yang kaku itu dibilas ke dalam air Sungai Ganga yang keruh, ditaburkan bunga bersama Puja Thali (sesajen atau semahan yang mengandungi lilin, beras, kelapa, dan serbuk berwarna yang dipersembahkan ketika menjalani ritual keagamaan). Alunan mantera Hindu turut mengiringi.

Kayu api disusun rapi di tepi sungai. Dalam tradisi pembakaran mayat umat Hindu, kasta juga memainkan pengaruh. Yang termasuk di dalam golongan atasan, keluarga kerajaan, dan berpangkat tinggi, mayatnya dibakar di tempat khas, malah ada juga tempat pembakaran mayat yang eksklusif. Dan bagi kasta bawahan pula, mayatnya dibakar di merata kawasan.

Di sini aku berkenalan dengan Raj. Lelaki ini menjelaskan bahawa lelaki tua itu adalah orang besar yang sangat dihormati. Kematiannya pun dikatakan wajar, sakit tua. Jenazah si mati diletakkan di atas tompokan kayu, setelah itu dibilas lagi dengan air suci oleh sang pendeta. Denting loceng, alunan mantera, dan ratapan pilu terus mengiringi ketika api mulai marak.

Ini merupakan kali pertama aku menyaksikan proses pembakaran mayat sedekat ini. Tubuh kaku itu terlihat jelas meleleh seperti lilin. Jari-jari kakinya mulai menyatu, kemudian membulat, dan seterusnya hancur tak berbentuk. Ketika jasad sudah tak bernyawa, semuanya kembali ke dalam wujud yang sama. Tidak peduli dengan apa kastanya, sebesar mana kekayaannya, setinggi apa jawatannya, sebanyak manapun pencapaian yang pernah digenggamnya, tubuh dan jasad akan hancur bersama menjadi abu dan debu.

Di hadapan kematian, orang seakan menjadi ahli filsuf. Di depan upacara pembakaran mayat, Raj menerangkan kepada aku tentang erti kehidupan dan kematian. Beliau menjelaskan, betapa tak abadinya hidup manusia, bermula daripada ketiadaan dan kembali semula kepada ketiadaan. Alangkah sayangnya jika hidup yang berharga ini dilewatkan begitu saja, tanpa makna dan tanpa faedah. Roh yang melekat di dalam tubuh hanyalah untuk sementara. Setelah itu, hidup yang kita jalani cuma akan menjadi sejarah yang akan dikenang oleh segelintir orang. Tak ada ertinya lagi semua kebanggaan, kekayaan duniawi, dan populariti yang pernah diraih – semuanya lenyap bersama jasad yang melebur.

“Ramai orang yang hidup tapi tak hidup. Mereka semua salah tentukan tujuan hidup. Kebanyakannya hanya mengejar wang, properti, emas, perempuan, kuasa…Tapi apakah mereka bahagia?” Raj melontarkan persoalan itu ketika kami bersama menyaksikan mayat yang berada di atas tompokan kayu itu perlahan-lahan melepuh dan melebur ditelan api yang garang menjulang. “Palsu, semua itu palsu. Ramai orang tak pernah tahu apa yang penting di dalam dunia. Itulah sebuah kehidupan yang hampa,” tambah Raj lagi, “bahagia itu tak pasti, cuma mati yang pasti. Maka ingatlah dengan kematian, itu kunci kebahagian. Dan berterima kasihlah kepada kematian, kerana kematian adalah guru terbesar dalam hidup.”

Anggota keluarga yang ditinggalkan kini memasuki fasa perkabungan. Kaum perempuan terus meratap. Kaum lelaki mencukur habis rambut mereka, dan cuma menyisakan sejumput kecil di bahagian belakang kepala.

Penganut Hindu percaya dengan reinkarnasi. Kematian bukanlah pengakhiran melainkan sebuah permulaan bagi perjalanan baru. Roh yang baru sahaja meninggalkan jasad setelah tubuh hancur, kini bersiap sedia untuk memulakan lagi kehidupan yang berikutnya. Abu mayat ditabur ke dalam Sungai Ganga yang mengalir perlahan, lalu ia akan hanyut sejauh ratusan kilometer hingga ke muara sungai di Teluk Benggala, sekaligus menutup kisah babak kehidupannya yang baru sahaja berlalu. Dan babak yang baru pula akan segera bermula.

Sumber: scattering-ashes.co.uk

Varanasi adalah tanah impian buat para penganut Hindu mengakhiri kehidupan, terutamanya bagi golongan warga emas yang menanti ajal. Justeru itu, terdapat ramai orang tua yang menghuni Shri Satua Baba Ashram berhampiran dengan Manikarnika Ghat. Mereka percaya bahawa jiwa manusia yang mati akan menemukan moksha (keselamatan) apabila dibakar di Sungai Ganga. Oleh sebab itulah ramai warga lanjut usia dari seluruh penjuru negara mengimpikan untuk mati di sini. Mereka datang ke Varanasi dan menghabiskan hari-hari terakhir mereka untuk menyerap  karisma ghat – semangat yang membuat kematian tidak menyakitkan dan tidak penting untuk difikirkan. Walau bagaimanapun, keadaan penempatan ini agak merimaskan. Orang-orang tua terbaring di atas katil yang berjajar, berdesak-desakan di dalam ruangan sempit. Ruangan dapur pula gelap dan berbau. Aku terlihat kelibat seorang lelaki tua yang sedang menyiapkan makanan di atas kuali. Namun, di tengah kesederhanaan kehidupan manusia di sini, tersirat kegembiraan pada riak senyum di wajah mereka.

Beberapa perempuan tua berbaju sari duduk di anjung. Mereka sudah sangat tua, kerut-kerut wajah mereka mengguratkan usia yang teramat lanjut. Tangan mereka bergetar. Tetapi, bulatan tika di dahi mereka seakan memancarkan aura mistik. Mereka hanyut dalam alunan tetabuhan dan bacaan mantera dari yang terdengar dari ghat berdekatan, membuatkan para wanita tua itu larut ke dalam dunia spiritualiti.

Sumber: medium.com

Sebagai sebuah penempatan yang suci, Ashram ini juga dipenuhi dengan ramai petapa Hindu seperti Raj yang disebut sadhu – golongan manusia yang melepaskan segala hal ke-duniawi-an untuk mencari kebenaran hakiki. Para sadhu ini berkelana dan mengembara ke seluruh penjuru negeri, hidup dengan belas kasihan alam dan orang lain, melepaskan mimpi-mimpi tentang kehidupan, dan tampil dalam wujud yang sukar digambarkan.

Ada sadhu yang berambut pintal, bersahabat dengan ular dan serangga. Ada sadhu yang tubuhnya berbalut abu, tidak berbaju dan hanya mengenakan lungi lusuh menutup alat kelamin. Berbekalkan tongkat kayu dan kantung sedekah, mereka berkeliling memberi berkah. Sadhu tidak mencukur rambut dan janggut. Ketika mati, mayat mereka juga tak dibakar, kerana roh mereka dikatakan lepas dari putaran reinkarnasi.

Begitupun, bukan semua sadhu itu benar-benar orang suci. Di zaman yang serba materialistik kini, ada golongan penunggang agama yang sanggup berdandan menjadi sadhu demi untuk mendapatkan wang. Ada yang menikmati hidup menjadi orang suci kerana gemar menghisap hahish atau ganja – untuk hanyut ke dalam kenikmatan nirwana. Ada pula yang bergaya di hadapan kamera untuk mendapatkan duit pemberian para pelancong, malah ada pula beberapa sadhu yang cukup agresif menarik tangan aku minta difoto (dan diberi sedekah tentunya).

Sumber: Jorge Royan / wikimedia.org

Di sini aku berkesempatan mengunjungi sebuah penempatan sadhu yang berhampiran dengan Manikarnika Ghat. Tempat ini dihuni lebih daripada lima orang suci. Di penempatan yang sesederhana ini, terdapat juga lembu dan kambing yang tinggal bersama. Dalam agama Hindu, lembu dianggap sebagai haiwan yang suci. Maka tidak hairanlah para sadhu juga tidur bersama lembu. Pada siang hari, ritual menghisap ganja berlangsung. Seorang sadhu muda berwajah tampan bersama balutan kepala yang tinggi, daun telinga yang berlubang besar ditembusi anting-anting berat, dengan penuh kekhusyukan, mata terpejam, perlahan-lahan menghisap paip hookah. Kepulan asap dihembus dari mulutnya. Matanya tetap terpejam, menikmati setiap hembusan kenikmatan itu. Paip berpindah dari tangan ke tangan sadhu lain yang berjanggut lebat. Dia turut menikmati kenikmatan yang sama. Lima orang lelaki suci ini duduk membentuk bulatan, bergilir menikmati kedamaian nirwana.

Seorang sadhu yang lain menarik aku masuk ke dalam, meminta aku untuk memeriksa sebuah televisyen yang rosak. Dia baru saja memperolehi sekeping DVD tentang Afrika, tetapi apabila dimainkan, televisyen ini sama sekali tidak mengeluarkan sebarang suara. Rupanya di tempat ini, selain kenikmatan syurgawi daripada marijuana, terdapat juga alat tontonan untuk mengisi kebosanan mereka.

Di antara sadhu yang paling dihormati di Manikarnika Ghat, ada seorang lelaki tua berumur lebih tujuh puluh tahun yang dipanggil Baba, menjalani hidupnya dengan hanya meminum susu lembu. Dia tidak pernah makan sama sekali dan tidak juga minum minuman lain. Tubuhnya kurus melidi, berambut panjang, tidak terurus, kesat, dan digulung menjadi seperti sanggul di atas kepalanya yang terlihat seakan gaya dreadlocks.

Baba sudah berkelana ke hampir seluruh pelusuk India dan Nepal. Dia juga sering mendapat undangan untuk mengajar dan memberi ceramah keagamaan. Walaupun sumber kehidupannya cuma daripada susu lembu yang suci, tetapi ilmunya sudah mendatangkan ramai murid dari Nepal dan seluruh negara.

Sumber: Moon @footlooseforever.com

Di India, Shiva, Vishnu, dan Parvati merupakan tiga dewa utama Hindu. Manikarnika mendapat namanya daripada bahasa Sanskrit yang bererti ‘anting-anting’. Ada dua mitos yang mengisahkan tentang sejarah ghat suci ini. Alkisahnya, Dewa Shiva turun di sini untuk mandi di ghat sebuah kolam yang dibina oleh ‘chakra‘ Dewa Vishnu. Usai mandi, Shiva merasa begitu segar dan bertenaga lalu membuatkannya menari girang ketika menaiki tangga ghat, yang telah membuatkan anting-anting ditelinganya tercicir lalu hilang tanpa disedari.

Sebuah lagi mitos mengisahkan Dewi Parvati telah menyembunyikan anting-antingnya sendiri di kota ini dan meminta Dewa Shiva untuk mencarinya supaya orang-orang suci akan datang dan menetap di Kashi (nama kuno bagi Varanasi) sebagai ‘Vishwanath‘ (penyembah Dewa Shiva). Penganut Hindu juga percaya apabila merekat mati di sini, Yamaduta (malaikat maut) tidak dapat menghantar roh si mati ke neraka kerana adanya Dewa Shiva sebagai pelindung.

Varanasi, kota suci yang disebut-sebut sebagai tamadun kedua tertua di dunia ini penuh dengan nuansa mistik dan spiritual. Kota ini telah tertulis di dalam sejarah selama lebih daripada tiga ribu tahun. Di dalam sebuah catatan perjalanan, Mark Twain pernah menuliskan bahawa Varanasi adalah lebih tua dari sejarah, lebih tua dari tradisi, dan lebih tua dari peradaban dan mungkin dua kali lebih tua jika kesemuanya disatukan bersama.

Secara purata, kira-kira 250 hingga 300 mayat dibakar di sini pada setiap hari, dari pagi hingga ke malam. Namun begitu, roda-roda kehidupan terus berputar seperti biasa – bunyi hon kenderaan yang tidak pernah sunyi, lembu dan kambing yang berkeliaran di lorong-lorong kota, kuil-kuil yang tidak henti menerima kunjungan penziarah yang datang beribadah, peniaga-peniaga jalanan yang memekik-mekik memanggil pembeli, para sadhu yang mencari hakikat, golongan tua yang menanti ajal, jenazah-jenazah yang hancur meleleh, dan abu mayat yang ditabur ke dalam Sungai Ganga menantikan reinkarnasi.

Berdiri di hadapan mayat-mayat yang melepuh ditelan api, manusia menjadi sedar, bahawa hidup di dunia ini hanyalah sebuah perjalanan yang bermula daripada debu yang akhirnya akan kembali semula menjadi debu.


Sharifuddin Lennon adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Sharifuddin Lennon
Author: Sharifuddin Lennon

Sharifuddin is a travel writer and blogger for sharifuddinlennon.com