‘Maskne’: Lima cara penjagaan kulit untuk mengelakkan jerawat ketika memakai Pelitup Muka

Sejak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia pada akhir tahun 2019, amalan pemakaian pelitup muka telah diperketatkan. Kerajaan Malaysia telah mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua rakyat dan kompaun boleh dikenakan sehingga RM1,500 kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP). Suka ataupun tidak, pemakaian pelitup muka bukan lagi pilihan setelah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dikuatkuasakan. ‘Maskne’ merupakan neologisme yang dilihat sebagai masalah jerawat yang semakin meningkat sejak penguatkuasaan pemakaian pelitup muka. ‘Maskne’ (mask acne) diistilahkan sebagai kerengsaan dan keradangan pada kulit kerana geseran yang berterusan pelitup muka kepada kulit wajah. Inflamasi kulit wajah yang berlaku telah menyebabkan liang pori tersumbat dan seterusnya jerawat mula tumbuh pada muka. Antara punca ‘maskne’ juga adalah disebabkan oleh peluh yang tidak dapat menguap kerana jenis fabric pelitup muka yang mempunyai tahap pengudaraan yang rendah.

Photo by Cedric Fauntleroy from Pexels

Langkah pertama untuk mengurangkan pertumbuhan ‘maskne’ adalah menukar pelitup muka dengan lebih kerap. Pemakaian pelitup muka dalam jangka waktu yang lama menyebabkan pengumpulan habuk, kotoran mikropartikel dan sebum menggalakkan pertumbuhan bakteria pada kulit. Kita juga disarankan untuk tidak menggunakan semula pelitup muka pakai buang bagi mengelakkan jangkitan kuman terutama kepada mereka yang mempunyai kulit sensitif. Pemilihan jenis pelitup muka juga amat penting iaitu penggunaan fabrik semulajadi, lembut, dan selesa seperti jenis kapas bagi lapisan dalam. Pelitup muka yang dipakai mestilah tidak terlalu ketat kerana ianya akan meningkatkan kadar iritasi dan juga elakkan pemakaian pelitup muka dengan fabrik sintetik seperti nilon dan poliester untuk lapisan yang mempunyai kontak terus pada kulit wajah. Tanda-tanda awal iritasi pada kulit atau jenis fabrik yang tidak sesuai dengan kulit adalah anda merasa gatal pada kulit.

Tambahan lagi, penjagaan kebersihan kulit amat penting bagi mengelakkan masalah jerawat yang disebabkan oleh pelitup muka. Kuncinya adalah dengan mengamalkan langkah mencuci dan melembapkan kulit. Anda disarankan untuk mencuci muka sebelum dan selepas pemakaian pelitup muka dengan menggunakan pencuci muka yang sesuai untuk kulit sensitif. Pilihan pencuci muka yang tidak memberi kesan kerengsaan seperti pencuci muka bebas pewangi atau paraben dan mengandungi bahan-bahan yang lembut untuk kulit. Selepas mencuci muka, gunakan pelembap bagi mengelakkan kulit terlalu kering yang akan menggalakkan penghasilan sebum yang menyebabkan jerawat. Tips untuk memilih jenis pelembap yang terbaik adalah dengan meneliti produk pelembap yang telah diuji secara dermatologi (dermatologically tested), bebas paraben atau pewangi, tanpa alkohol, dan bebas minyak mineral. Pelembap yang menepati kriteria tersebut biasanya lembut pada kulit dan tidak menyebabkan kesan keradangan.

Photo by Noah Buscher on Unsplash

Haba dan kelembapan yang tertumpu di sekitar hidung dan mulut ketika pemakaian topeng muka dapat mengubah pH kulit anda dan meningkatkan risiko kepada masalah pertumbuhan bakteria, pertumbuhan yis, ruam merah, serta jerawat bernanah. Adalah amat penting sekiranya anda mempunyai masalah ‘maskne’ untuk mengelakkan penggunaan berus wajah yang boleh menghakis kulit dan meningkatkan keradangan. Elakkan juga daripada mencuba produk penjagaan kulit yang baru dan juga produk seperti pegelupasan kimia, eksfolian atau retinol kerana gejala ‘maskne’ meningkatkan lagi masalah kulit sensitif anda. Sebaiknya, fokus kepada produk yang mempunyai sifat hidrasi, anti-keradangan dan antioksidan pada kulit seperti Vitamin E, niasinamide dan glycerin.

Selain daripada itu, elakkan pemakaian riasan (makeup) yang terlalu tebal bagi mengelakkan liang pori tersumbat seterusnya meningkatkan pertumbuhan jerawat. Oleh kerana pemakaian pelitup muka diwajibkan disetiap premis atau pejabat tempat bekerja sepanjang masa, riasan yang tebal memberikan suasana yang terbaik untuk pembiakan bakteria. Kosmetik juga akan mencemarkan topeng muka yang akan menyebabkan iritasi pada kulit. Sekiranya anda ingin menggunakan kosmetik, pilih produk kosmetik yang tidak mempunyai bahan komedogenik iaitu bahan-bahan yang boleh membuatkan liang pori tersumbat seperti lanolin, carrageenan, asid sterik, asid laurik, benzaldehid dan sodium klorida.

Walaupun pemakaian topeng muka tidak dapat dielakkan untuk melindungi diri kira daripada bahaya jangkitan COVID-19, penjagaan kulit wajah perlu dititik beratkan sekiranya masalah jerawat yang berpunca daripada topeng muka berlaku. Pakar dermatologi sebenarnya telah lama mengetahui dan mempunyai solusi kepada masalah ‘maskne’ kerana doktor-doktor telah mengamalkan pemakaian pelitup muka semasa melaksanakan tugas mereka sejak sekian lama. Penjagaan kebersihan diri amat penting bukan hanya untuk mengelakkan jerawat, tetapi juga untuk memastikan diri kita selamat daripada virus yang mungkin meragut nyawa. Jika masalah ‘maskne’ anda tidak terkawal, segera berjumpa dengan ahli dermatologi untuk dirawat.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

A freelance content creator and blogger at tangangebu27.blogspot.com