Nak jana pendapatan dari rumah? Inilah LIMA jenis produk yang laris dijual

Menjana pendapatan dari rumah secara separuh masa mahupun sepenuh masa telah dijalankan oleh ramai orang tidak kira sebagai kerjaya kedua atau hobi. Sesetengah orang menjadikan kerjaya dari rumah sebagai wang tambahan untuk menampung keperluan hidup. Tidak kurang juga bagi sesetengah yang lain hanya menjadikan sebagai minat yang boleh menjana pendapatan. Di mana ada permintaan, disitulah produk akan mudah dan laris dijual. Untuk menjana pendapatan, ianya tidak tertakluk hanya kepada barang atau produk fizikal tetapi juga dalam bentuk digital atau perkhidmatan. Artikel ini akan menerangkan beberapa cadangan produk fizikal mahupun digital yang boleh anda usahakan tanpa modal.

Photo by Negative Space  from Pexels

Produk pertama ialah hasil seni dan kraftangan yang memerlukan beberapa kemahiran tertentu seperti menjahit, mengait, melukis ataupun kemahiran bertukang. Menurut artikel daripada World Economic Forum pada Jun 2021 melaporkan permintaan produk hasil seni dan kraf telah meningkat dua kali ganda semasa wabak COVID-19 melanda dan permintaan ini akan terus menaik hingga tahun 2024. Produk hasil seni dan kraf lukisan potret, tulisan khat, hasil jahit dan kait seperti beg, boneka mainan, ikabana bunga hiasan dan banyak lagi produk lain. Anda boleh menghasilkan produk mengikut kemahiran yang dimiliki. Pelanggan yang kini terbiasa dengan norma baharu lebih banyak duduk di rumah ingin mewujudkan suasana rumah yang menenangkan dengan hiasan-hiasan yang disukai. Tidak kurang juga ibu bapa yang suka membeli boneka atau permainan untuk anak-anak. Adakah anda tidak mempunyai kemahiran tetapi ingin berniaga dengan produk-produk ini? Anda boleh menjadi agen atau stokis produk-produk tersebut dengan sedikit modal tanpa perlu membuatnya sendiri.

Selain itu, produk kek pratempah dan biskut juga amat laris dipasaran. Budaya kerja dari rumah telah mengubah tabiat serta pilihan makanan rakyat di seluruh negara. Kek pratempah yang dihasilkan oleh homebaker bukan lagi trend baru tetapi sudah lama dipelopori oleh baker yang berbakat yang menerima tempahan kek hanya dari rumah. Produk biskut pula tidak lagi meningkat permintaannya pada musim perayaan sahaja, tetapi produk ini menjadi pilihan sepanjang masa. Biskut yang dihasilkan dari rumah walaupun tidak dapat dijual dalam kuantiti yang besar, penghasilkan biskut homemade mempunyai nilai yang lebih tinggi dengan kualiti yang premium lebih menjadi pilihan ramai kerana rasa, aroma dan tekstur lebih unik berbanding biskut yang dihasilkan di kilang-kilang besar. Sekiranya anda ingin memulakan bisnes kek pratempah dan biskut dari rumah tetapi tidak mempunyai resepi atau kemahiran, anda boleh membeli resepi dari sifu-sifu baker yang menjual resepi atau kelas secara atas talian (online).

Tambahan lagi, produk yang senang dihasilkan tanpa memerlukan proses yang panjang mahupun penggunaan elektrik yang tinggi seperti pembuatan kek ialah tepung siap diadun (premix). Tepung premix mendapat permintaan yang tinggi di pasaran atas talian (online marketplace) seperti Shopee dan Lazada. Terdapat dua sebab yang diandaikan oleh permintaan tepung premix iaitu menjimatkan masa tanpa perlu menimbang bahan-bahan mentah serta ianya senang dibuat dan dijadikan aktiviti memasak bersama anak-anak di rumah. Contoh tepung premix yang mudah dihasilkan seperti tepung lempeng (pancake), tepung kek coklat, tepung kek red velvet, tepung biskut cip coklat dan pelbagai tepung premix yang lain. Sesetengah tepung premix hanya perlu menambah telur, mentega dan air sahaja tanpa menggunakan mesin pengadun. Anda juga boleh membuat tepung premix versi sihat seperti kurang gula dan tinggi fiber.

Contoh item yang dijual secara digital adalah e-buku (e-book). Produk e-buku bukanlah produk baru yang wujud tetapi telah lama dipasarkan sebelum pandemik COVID-19. E-buku boleh dihasilkan dalam apa jua genre atau bidang tidak kira akademik ataupun bahan bacaan ringan seperti novel. Sekiranya anda seorang guru dan ingin menyediakan modul latihan yang memudahkan pelajar memahami subjek yang diajar, modul yang dihasilkan dalam bentuk e-buku lebih mudah dipasarkan kepada pelanggan melalui aplikasi Whatsapp sahaja. Bahan bacaan ringan seperti e-novel pula boleh dimuat naik ke laman web pasaran novel seperti Google Books, Wattpad, atau pun Amazon Book. Melalui laman web tersebut, anda boleh menjana pendapatan apabila pelanggan membeli e-buku anda. Kos penghasilan yang hampir kosong serta kemahiran menaip yang minima, anda boleh menghasilkan produk digital e-buku dengan cepat dan mudah.

Photo by cottonbro from Pexels

Idea untuk menjana pendapatan dari rumah yang terakhir adalah dalam bentuk servis iaitu kelas atas talian. Sejak sektor pendidikan dihadkan kepada pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), kelas-kelas tutorial atau kursus atas talian tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Kelas-kelas mengaji Al-Quran tidak boleh beroperasi secara fizikal, kini dijalankan secara atas talian (online). Bukan itu sahaja, kelas tuisyen juga beralih cara pengajaran kepada atas talian tanpa perlu keluar dari rumah. Seandainya anda ingin menjalankan kelas tutorial secara atas talian, cukup dengan memiliki telefon atau komputer riba sudah boleh mendapat bayaran yuran kelas yang boleh dibuat secara individu mahupun berkumpulan. Anda tidak perlu menjadi seorang guru sekolah untuk mengajar secara atas talian tetapi teknik pengajaran dan pembelajaran yang unik dapat menarik minat pelajar atau ibu bapa untuk mengupah anda sebagai guru peribadi.

Akhir sekali, lima jenis produk yang dapat diusahakan walaupun tanpa kemahiran boleh dilakukan dari rumah dalam bentuk fizikal atau digital. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan sepatutnya menjadi ingatan kita untuk tidak berputus asa dalam menjana pendapatan untuk diri anda dan keluarga. Perniagaan produk atau perkhidmatan dengan kos yang minima bukan lagi halangan untuk walaupun anda telah kehilangan pekerjaan.


Maryam Azalan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Maryam Azalan
Author: Maryam Azalan

A freelance content creator and blogger at tangangebu27.blogspot.com