Tetapkan Lensa Kehidupan

Gangguan atau distractions dalam kehidupan mungkin bukanlah perkara baru. Namun yang pastinya ianya lebih signifikan atau ketara kepada generasi alaf baru ini. Internet, telefon bimbit, televisyen, media sosial, dan kelajuan kemajuan teknologi serta aliran maklumat telah mencipta persekitaran di mana gangguan mengelilingi kita setiap saat sepanjang hari – dari saat kita bangun hingga saat kita menutup mata untuk tidur pada waktu malam. Betulkah begitu? Manakan tidak, telefon pintar kita yang ada seribu sumber maklumat dan hiburan sentiasa menemani kita ke mana-mana.

Jika ditanya kepada diri saya sendiri, ya memang benar begitu. Tambahan lagi dengan kebiasaan arahan kerja dan seribu satu persoalan dan maklumat yang tak henti-henti disampaikan melalui entah berapa banyak group menggunakan aplikasi Whatsapp mahupun Telegram. Dan mungkin ada lagi pelbagai aplikasi lain yang lebih canggih. Lebih-lebih lagi di zaman pandemik Covid-19 ini. Mesyuarat, perbincangan mahupun kursus secara maya atau virtual merupakan norma baru.

Gangguan atau distraction boleh merujuk kepada apa sahaja yang boleh mengambil alih perhatian dan tenaga kita dari perkara yang penting. Biasanya ianya berlarutan bagi jangka masa panjang. Contoh lain ialah permainan video, rancangan televisyen, games, dan mungkin info atau maklumat remeh temeh ataupun kurang tepat yang begitu cepat menjadi tular atau viral.

Tuntutan seharian pula, walaupun dalam konteks asal adalah sesuatu yang normal dan perlu tetapi boleh menjadi gangguan sekiranya berlebihan. Contohnya, menjawab emel berkaitan kerja adalah penting, tetapi boleh menjadi tidak sihat dan dianggap gangguan jika ianya sudah mula mengambil masa kita bersama keluarga. Masa yang dihabiskan di media sosial pula boleh menjadi peluang untuk berhubung dengan rakan-rakan dan mungkin keluarga yang berjauhan dan lama tidak berjumpa. Namun, ia juga boleh menjadi tidak sihat jika kita terlalu banyak menghabiskan masa untuk media sosial.

Sebenarnya, sedikit sebanyak kita pasti akan terdedah kepada pelbagai gangguan atau distraction ini. Ianya boleh dianggap norma pada zaman teknologi maklumat kini. Kita seronok menikmati permainan baru, rancangan televisyen baru, hobi baru, laman web baru, peluang baru atau idea baru. Malah boleh dikatakan jika kita langsung tidak terdedah atau tidak biasa dengan kemudahan maklumat di hujung jari yang telah menjadi kebiasaan sekarang, kita adalah orang yang ketinggalan zaman. Namun akhirnya, tanpa kita sedari, gangguan ini telah menjadi cara hidup. Lifestyle masakini.

Di dalam buku bertajuk The Shallows: What The Internet Is Doing To Our Brains yang diterbitkan pada tahun 2011, Nicholas Carr menulis bahawa kita mampu fokus kepada satu-satu perkara hanya selama 12 saat sebelum fikiran kita menerawang memikirkan perkara lain. Pada hari ini, dipercayai kita hanya mampu fokus selama 8 saat sahaja.

Kita mula “mencuri” beberapa minit tambahan di sana sini untuk menikmati lifestyle baharu ini. Tetapi bilangan jam dalam sehari tidak pernah berubah. Jadi akhirnya, kita mula mengorbankan perkara-perkara yang penting sebelum ini untuk memberi laluan kepada gangguan tersebut yang telah menjadi cara hidup.

Sebelum kita terus dilambung gangguan mencapai fokus dan matlamat dalam hidup, belajar untuk berhenti sekejap dan refleksi diri. Fikir semula, apa yang kita inginkan dalam hidup? Apakah fokus dan matlamat atau impian yang kita ingin capai? Cara hidup kita adalah pilihan kita. Sekiranya telah jelas apa yang ingin kita capai, kawal gangguan atau distractions ini supaya tidak menjadi penghalang. Hanya kita yang mampu memilih dan menentukannya. 

Hidup macam kamera. Tetapkan gambar apa yang kita inginkan. Tetapkan fokus yang terbaik. Abaikan gangguan. Klik! Keluar gambar cantik seperti yang kita inginkan. InsyaAllah.


Linda adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Linda
Author: Linda

Reading with a cup of coffee; especially on rainy days at @notadankopi