Tips Membeli Kereta Terpakai Untuk Jimat Duit Poket Kita

Photo by Pixabay from Pexels

Tahun 2020 dan 2021 kita semua melalui satu perjalanan yang luar biasa dengan kedatangan virus Covid – 19 yang melanda seluruh dunia. Pada masa kini, semua sedang melalui proses pemulihan dari segi mental, fizikal, kewangan, dan ekonomi. Yang terkesan teruk juga adalah bidang automotif yang baru dibuka sejak beberapa bulan yang lepas. Hanya bengkel kenderaan sahaja dibenarkan buka manakala pusat jualan kereta tidak dibenarkan.

Pihak kerajaan telah membenarkan sektor jualan kenderaan dibuka semula atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Berita baik ini sangat mengujakan pengusaha kedai kereta terpakai dan baru bagi membolehkan operasi jualan berjalan dan bangkit seperti biasa. Tidak kurang juga para pelanggan yang lama menunggu untuk melihat kereta idaman masing – masing. Hasil kajian menunjukkan kuasa membeli rakyat Malaysia dalam bidang automotif akan kembali normal dalam beberapa bulan mendatang ini.

Dengan itu , saya kongsikan beberapa tips untuk beli kereta terpakai untuk panduan korang semua.

1. Lihat Harga Pasaran di Dalam Aplikasi Jualan Dahulu Sebelum ke Kedai

Photo by Tim Samuel from Pexels

Zaman moden sekarang dah mudah, kita boleh buat kajian harga pasaran dahulu melalui aplikasi jualan kereta seperti Carlist , Mudah.my, Carsome, dan Mytukar. Banyak lagi aplikasi lain yang boleh kita cari. Contohnya, kita nak beli Perodua Myvi tahun 2015. Korang kena cari dan buat kajian lebih kurang 50 – 100 biji harga kereta jenis dan tahun yang sama untuk kita nilai dan tengok harga pasaran sebelum tengok secara berdepan di kedai.

2. Buka Kalkulator Kiraan Pinjaman

Photo by Polina Tankilevitch from Pexels

Tips ini antara terpenting untuk lihat kemampuan kocek kita setiap bulan. Selalunya kalkulator ini tersedia dalam aplikasi yang saya senaraikan di atas tadi. Korang boleh laraskan anggaran deposit dan harga kereta mengikut kemampuan kita. Selepas itu kita boleh lihat berapa anggaran bulanan yang perlu kita bayar jika kita jadi membeli kereta impian kita tersebut. Perancangan kewangan penting ya takut nanti tidak boleh bayar bayaran bulanan.

3. Elakkan Beli Kereta Lebih 5 Tahun

Photo by Mark Vegera from Pexels

Di beberapa negara maju seperti Singapore, Jepun, dan Britain, kereta yang melebihi 5 tahun tidak boleh digunakan lagi. Oleh sebab itu, kita selalu lihat status kereta ‘recond’ yang dibawa masuk untuk jualan di Malaysia. Jika kita mampu untuk tambah sedikit bajet, elakkan kereta usia lebih dari 5 tahun waktu kita beli. Risiko kos selenggara yang tinggi akibat usia kereta yang lama adalah tinggi.

4. Periksa Perbatuan (mileage)

Photo by Mike from Pexels

Bila kita dah tengok kereta di kedai, perkara pertama kena tengok adalah mileage kereta tersebut. Cadangan anggaran yang baik adalah 20,000KM setahun. Contohnya, jika kereta tersebut sudah berusia 5 tahun, perbatuan adalah 65,000KM, kereta itu kurang bergerak sangat dan risiko selenggara mungkin dapat kita kurangkan dan jimat. Jika 5 tahun, tetapi perbatuan sudah mencecah 150,000KM, saya cadangkan kita ‘NEXT’ sahaja.

5. Periksa Luaran dan Dalaman, Pandu Uji Dahulu

Photo by Roberto Nickson from Pexels

Selalunya kita terpedaya dengan gaya dan kecantikan luaran kenderaan. Kita tidak boleh menyalahkan kedai kereta kerana mereka ingin melariskan jualan. Ini adalah tanggungjawab kita untuk meneliti keadaan kereta itu, jika kita tidak tahu kita boleh membawa kenalan yang mahir bagi melihat keadaan dalaman kereta. Kita risau jika kereta tersebut pernah mengalami kemalangan atau banjir. Paling kita takut kereta itu adalah kereta potong dan klon. Dan tips tambahan jangan beli kereta terlalu murah dari harga pasaran. Daripada berjimat, kita terpaksa tanggung kos lebih tinggi untuk masalah yang lebih besar datang.

Selamat membeli semua!


Abdul Muhaimin adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Abdul Muhaimin
Author: Abdul Muhaimin

Hi, you can call me amin, Always passionate about writing